.Followers.

Simple is Nice

Friday, July 17, 2009

Kolej !7 Juara Malam Tunas Budaya

SERDANG, 12 Julai - Kumpulan Arustika Putrasakti dari Kolej 17 muncul Juara Keseluruhan pada Malam Tunas Budaya (MTB) yang berlangsung di Dewan Besar Pusat Kebudayaan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kemenangan Kolej 17 kerana menampilkan kombinasi persembahan nyanyian yang mantap serta susunan muzik dan gerak tari yang bertenaga.

Malam yang bertemakan konsep ‘1 Malaysia’ itu juga menyaksikan Kolej 17 berjaya menggondol anugerah lain seperti Video Klip Terbaik, Kumpulan Tarian Terbaik, Pengarah Terbaik, dan Anugerah Kreativiti Terbaik.

MTB dianjurkan oleh Unit Seni Budaya dan Kreatif, Bahagian Hal Ehwal Pelajar sebagai acara kemuncak Minggu Perkasa Putra tahun ini.

Tirai acara dimulakan dengan persembahan Kumpulan Tarian Adimastuli diiringi oleh paluan gendang Cina Kumpulan 24 Season Drum dari Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) dengan iringan lagu rancak “Jai-Ho”.

Setiap dua kolej daripada 17 buah kolej kediaman yang bertanding bergabung membentuk satu kumpulan.

MTB menekankan semangat perpaduan yang tinggi antara pelajar bersesuaian dengan konsep 1 Malaysia kerana setiap persembahan harus menampilkan elemen perpaduan dalam bentuk nyanyian, muzik dan tarian.

Pelajar baharu, Nor Nadia Shamsudin dari Kolej 17 berkata MTB sangat meninggalkan kesan kepadanya dan rakan-rakan kerana perpaduan terjalin erat semasa proses latihan sesama mereka.

“Keseronokan bersama-sama rakan tanpa mengira kaum di UPM merupakan satu permulaan yang baik buat saya untuk berada di kampus ini,” katanya.

Sebanyak 15 anugerah telah dipertandingkan pada MTB tahun ini dan telah diadili oleh pelakon Fizz Fairus, pembaca berita TV3 Meor Abdul Malek Raiyan, Pengacara Rancangan 999 Teh Syuhada Mat Sharif, wartawan Utusan Malaysia Metra Shahril Mohamed dan Pengacara Malaysia Hari Ini, Ahmad Fetri Yahya selaku ketua juri.

Ketua juri menyatakan MTB platform terbaik untuk mengetengahkan kreativiti pelajar baharu di samping memberi peluang untuk menonjolkan bakat di peringkat universiti.

MTB turut mempertandingkan Anugerah Penulisan Puisi Terbaik yang dimenangi oleh Siti Ramizah Khairulnisa dari Kolej 12 dengan tajuk puisi ‘1 Malaysia’.

Anugerah disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Azali bin Mohamed.



Senarai Pemenang Malam Tunas Budaya :


Anugerah Keseluruhan Terbaik - Arustika Putrasakti (K17)
Naib Johan - Perkasa Harmoni (K5 & KTP)
Tempat Ketiga - Sita Walinongsari (K10 & K11)
Anugerah Publisiti Terbaik - Keris Fansuri (K2 & KOSASS)
Anugerah Keceriaan Terbaik - Satu (KPZ & K13)
Anugerah Video Klip Terbaik - Arustika Putrasakti (K17)
Anugerah Kumpulan Tarian Terbaik - Arustika Putrasakti (K17)
Anugerah Kumpulan Muzik Terbaik - Keris Fansuri (K2 & KOSASS)
Anugerah Vokal Terbaik - Adipati Kencana (K12 & K14)
Anugerah Pengarah Terbaik - Arustika Putrasakti (K17)
Anugerah Teknikal Terbaik - Perkasa Harmoni (K5 & KTP)
Anugerah Kreativiti Terbaik - Arustika Putrasakti (K17)


Anugerah Penulisan Puisi Terbaik

Johan - Siti Ramizah Khairulnisa (K12)
Naib Johan - Kalaivani (K17)
Tempat Ketiga - Farah Farhana (KOSASS)

No comments: